Pelantikan TNCPI Ke KPT Bukti UUM Punyai Banyak Bakat Dan Kepakaran

Pelantikan TNCPI Ke KPT Bukti UUM Punyai Banyak Bakat Dan Kepakaran

 

UUM ONLINE: Pelantikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Noor Azizi Ismail sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia (TKPPTM) membuktikan Universiti Utara Malaysia (UUM) mempunyai banyak bakat dan kepakaran yang boleh disumbangkan di peringkat nasional.

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata pelantikan tersebut merupakan peluang terbaik untuk beliau menunjukkan kebolehan dan kualiti kepimpinan yang ada padanya hasil pengalaman lebih 25 tahun di UUM.

"Pelantikan ini bukanlah satu pelantikan yang mudah kerana pihak Kementerian mahu mencari seorang yang dinamik yang boleh memberikan sumbangan terbaik dalam memacu Pendidikan Tinggi di Malaysia yang sedang berkembang pesat.

"Justeru pelantikan ini merupakan satu kebanggaan dan pengiktirafan kepada UUM kerana berjaya menyumbang salah seorang daripada bakatnya ke peringkat kementerian," katanya pada Majlis Penghargaan Dan Sekalung Tahniah Prof Dr Noor Azizi Ismail di EDC-Hotels and Resorts petang semalam.

Majlis tersebut diadakan bertujuan meraikan Prof Dr Noor Azizi yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia untuk tempoh dua tahun.

Tambah Naib Canselor lagi, pelantikan itu juga merupakan kali pertama seorang individu daripada universiti bukan penyelidikan dilantik memegang jawatan tersebut dan berharap beliau boleh memberi input mengenai isu-isu dan cabaran yang dihadapi universiti awam yang kurang mendapat perhatian daripada pihak Kementerian agar universiti awam dapat berkembang dengan lebih baik.

Sementara itu Prof Dr Noor Azizi merakamkan ucapan terima kasih kepada UUM dan Naib Canselor khususnya yang telah memberi peluang dan kepercayaan kepadanya untuk menjadi pemimpin di pelbagai peringkat selama lebih 25 tahun berkhidmat di UUM.

Katanya, UUM mempunyai potensi besar untuk menjadi antara universiti terbaik, apa yang diperlukan adalah lonjakan terutamanya dalam kalangan pemimpinnya.

"Lonjakan yang dimaksudkan adalah lonjakan keikhlasan dalam bekerja, mencari dan memberi ilmu, lonjakan pemikiran untuk berfikir di luar kebiasaan, lonjakan keberanian untuk berubah dan berbeza pandangan serta lonjakan keyakinan bahawa kita mampu menggapai impian. Impian itu bukan dari segi pangkat atau kedudukan tetapi impian untuk menyumbang lebih kepada agama bangsa dan negara," ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak memberi sokongan dan komitmen yang tinggi kepadanya selama 23 bulan beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Prof Dr Noor Azizi mula berkhidmat di UUM sejak 1992 sebagai tutor dan pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Dekan Penyelidikan dan Inovasi, College of Business, UUM (2009-2011), Dekan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business, UUM (2011-2015) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) (2015-2017).

Hadir sama ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Dekan-dekan, Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab dan pegawai-pegawai kanan UUM.

 

 

 

===============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3048/3049/3042/3040
FAKS: 04-928 3053
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

footer ci uum

 

 

Pejabat Luar (China)

Permohonan secara Online melalui:
1. Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB)
2. UUM-MyGlobal Asia Center
3. UUM Offshore Office, Beijing
4. Or other officially appointed UUM agents.

UUM Sintok

  servicedesk@uum.edu.my
  +604-928 4000    +604-928 3053
  Universiti Utara Malaysia,
06010 UUM Sintok, Kedah, Malaysia

UUM Kuala Lumpur

  uumkl@uum.edu.my
  +603-2610 3000    +603-2694 9228
 41-3 Jalan Raja Muda Abd Aziz,
50300 Kuala Lumpur, Malaysia