1,400 Peserta Meriahkan TECHERun 2017 – Berjaya Kutip Dana RM117,000

1,400 Peserta Meriahkan TECHERun 2017 – Berjaya Kutip Dana RM117,000

UUM ONLINE: 19 November - Sambutan diluar jangkaan apabila 1,400 peserta memeriahkan TISSA-UUM Edu-Charity Nite Run 2017 (TECHERun 2017) yang berlangsung di Pusat Sukan, UUM, malam tadi.

Dua kategori dipertandingkan dalam TECHERun 2017 iaitu Competitive Run dalam jarak 10 km yang melibatkan 300 orang dan Fun Run (5 km) yang terbuka kepada pelajar dan masyarakat luar.

Tan Sri Dato’ Paduka Dr. Fng Ah Seng, yang merupakan penaja Platinum TECHERun 2017 berkata, larian amal anjuran Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) diadakan bersempena Majlis Konvokesyen Ke-30 UUM untuk mengumpul dana bagi membantu aktiviti dan kebajikan pelajar selain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Syabas kepada TISSA-UUM kerana berjaya menganjurkan TECHERun 2017 dan saya sentiasa menyokong usaha murni ini.

“Aktiviti sebegini bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan tetapi juga memberi peluang untuk kita sama-sama berinteraksi dan menjalin hubungan kerjasama yang erat antara universiti, organisasi dan komuniti,” ucapnya yang juga Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn Bhd dan Pengerusi Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng.

Beliau menyifatkan pertandingan ini satu inisiatif yang baik di samping menjadi contoh teladan kepada pelajar untuk melakukan kerja amal selain komited akan membantu UUM.

“Dengan sambutan yang menggalakkan daripada warga kampus dan masyarakat luar saya berharap program ini akan diteruskan dan menjadi acara tahunan,” katanya sebelum menyempurnakan perasmian larian amal.

Terdahulu, beliau telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Tanggungjawab Sosial Korporat) sebagai pengiktirafan kepada sumbangan serta ketokohannya pada Majlis Konvokesyen UUM ke-30.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, program ini amat menarik kerana aktiviti riadah menyumbang kepada kesihatan.

“Jangan lupa mesej yang tersirat dalam program ini iaitu mengekalkan gaya hidup yang sihat terutamanya di kalangan generasi muda, elakkan penyalahgunaan dadah dan perkara yang merosakkan.

“Senaman ialah makanan dan riadah bagi otak, senaman paling murah, tak perlu keluar perbelanjaan agar sentiasa cergas, dan otak berfungsi secara maksimum kalau kita selalu beriadah,” pesannya.
“Acara di luar dugaan apabila 1,400 orang yang mengambil bahagian dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM117,000 yang akan digunakan untuk membantu UUM dalam pelbagai aktiviti, meningkatkan kecemerlangan dan pelajar yang memerlukan,” ucapnya.

Acara TECHERun 2017 menyaksikan kejuaraan Muhaizar Mohamad (Lelaki Senior), Vadiveelu (Veteran Lelaki), Teoh Kim Chyi (Wanita Senior) dan Susan Khoo (Veteran Wanita).

Muhaizar Mohamad, yang merupakan pemenang pingat gangsa acara Marathon Sukan SEA 2017, telah mencatat masa larian 34 minit dan 55 saat dan seterusnya menggondol juara keseluruhan larian dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, pingat dan sijil penghargaan.

Kemenangan Susan Khoo, 57 tahun di dalam kategori veteran wanita dengan catatan masa 48 minit 24 saat membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan.

Kategori Competitive Run ini menawarkan wang tunai, pingat dan sijil penghargaan kepada 5 pemenang bagi setiap kategori. Pingat juga diberikan kepada kesemua peserta yang berjaya menamatkan larian.

 

 

 

 

 

 

 

 

===============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3048/3049/3042/3040
FAKS: 04-928 3053
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

footer ci uum

Pejabat Luar (China)

Permohonan secara Online melalui:
1. Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB)
2. UUM-MyGlobal Asia Center
3. UUM Offshore Office, Beijing
4. Or other officially appointed UUM agents.

UUM Sintok

  servicedesk@uum.edu.my
  +604-928 4000    +604-928 3053
  Universiti Utara Malaysia,
06010 UUM Sintok, Kedah, Malaysia

UUM Kuala Lumpur

  uumkl@uum.edu.my
  +603-2610 3000    +603-2694 9228
 41-3 Jalan Raja Muda Abd Aziz,
50300 Kuala Lumpur, Malaysia