SIGG Cungkil Bakat Inovasi Dan Kreativiti Pereka Cipta Muda

SIGG Cungkil Bakat Inovasi Dan Kreativiti Pereka Cipta Muda
UUM ONLINE: 4 Oktober - Sintok International Games and Gamification (SIGG) 2018 anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), Universiti Utara Malaysia (UUM) mampu menjadi platform untuk mencungkil idea kreatif dan bakat inovasi anak muda selari dengan pembelajaran abad ke-21 dan era Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
 
Dekan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Prof Dr Sharipah Soaad Syed Yahaya berkata, SIGG diwujudkan sebagai sokongan dalam aktiviti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang menyeronokkan.
 
Katanya, sistem pembelajaran berkonsepkan teknologi permainan dan gamifikasi ini telah diguna pakai oleh ribuan pendidik termasuk di peringkat sekolah bagi membudayakan kemahiran abad ke-21 di pusat pembelajaran masing-masing. 
 
Menurutnya, sistem pembelajaran tersebut dibangunkan dengan input daripada guru, pakar pendidikan dan ahli perniagaan untuk menerapkan kemahiran serta pengetahuan kepada pelajar agar berjaya dalam karier dan kehidupan.
 
“SIGG 2018 adalah satu program berbentuk pertandingan berkaitan permainan dan gamifikasi bertujuan untuk menerapkan pendekatan pembelajaran yang fleksibel selaras dengan perubahan semasa.
 
“SIGG turut menyokong program akademik industri kreatif ke arah pengkomersilan dan intelektual produk serta servis selain memberi lebih banyak manfaat dan idea kepada penyelidik dan ahli akademia untuk menghasilkan penyelidikan baharu dan menarik perhatian ramai,” katanya pada Majlis Perasmian SIGG 2018 di Dewan Tan Sri Othman, semalam.
 
Prof Dr Sharipah Soaad berkata, program itu juga adalah salah satu platform terbaik untuk anak muda mencungkil bakat sebagai pereka cipta yang seterusnya boleh menjurus kepada kerjaya usahawan digital atau teknologi.
 
Menurutnya, beliau berharap semua peserta termasuk pihak penganjur dapat mencungkil lebih banyak lagi idea kreatif dan bakat inovasi anak muda dalam permainan dan teknologi gamifikasi.
 
Sementara itu, Pengerusi SIGG 2018 yang juga Pengarah ICC, Prof Madya Dr Razamin Ramli berkata, SIGG 2018 adalah anjuran kali kedua selepas mendapat sambutan memberangsangkan tahun lalu.
 
“SIGG menyediakan platform unik untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian, ahli akademik, penyelidik, usahawan serta orang awam yang berminat dalam bidang yang berkaitan dengan pendidikan dan industri kreatif. 
 
“Di sini, mereka boleh bertukar idea, pengalaman dan hasil inovasi masing-masing dalam aspek berkaitan dengan permainan dan gamifikasi,” katanya.
 
Tambah beliau, perkongsian ilmu menerusi program tersebut dapat memberi petunjuk dan hala tuju baru untuk projek penyelidikan, pembangunan prototaip, pelaksanaan pengkomersilan dan aktiviti keusahawanan dalam bidang tujahan yang kian popular ini. 
 
Katanya, beliau berharap SIGG dapat memberi peluang jalinan kerjasama yang lebih baik kepada semua yang berminat dalam pendidikan, industri kreatif juga ekonomi digital, sekali gus memupuk kefahaman tentang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 
 
Pertandingan ini mempamerkan hampir 100 produk inovasi daripada pelbagai kategori termasuk sekolah dan IPT yang melibatkan pendidik dan pelajar serta wakil industri di seluruh negara.
 
Antara yang dipamerkan seperti Biz Game, Save Earth!, CeriaCrowd - A Gamified Anti-Cyberbullying App, Prof O: A New Superhero, Math Garden, Les Étudiant Kitchen Story, Halal Explorer, Fraction Cipher, Escape, Dengue Patrol Squad, Learning is Fantastic AKA BREAK THE LIMIT dan Kisah Di Dalam Al-Quran.
 
Oleh: Siti Fatimah Abdullah
 
 
 
 
 
 

===============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3048/3049/3042/3040
FAKS: 04-928 3053
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

footer ci uum

Pejabat Luar (China)

Permohonan secara Online melalui:
1. Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB)
2. UUM-MyGlobal Asia Center
3. UUM Offshore Office, Beijing
4. Or other officially appointed UUM agents.

UUM Sintok

  servicedesk@uum.edu.my
  +604-928 4000    +604-928 3053
  Universiti Utara Malaysia,
06010 UUM Sintok, Kedah, Malaysia

UUM Kuala Lumpur

  uumkl@uum.edu.my
  +603-2610 3000    +603-2694 9228
 41-3 Jalan Raja Muda Abd Aziz,
50300 Kuala Lumpur, Malaysia