Punyai Impian – Rahsia Kejayaan Penerima Ijazah Kehormat, Dato’ Michael Tio

Punyai Impian – Rahsia Kejayaan Penerima Ijazah Kehormat, Dato’ Michael Tio

UUM ONLINE: Mempunyai impian, berani melakukan sesuatu yang berbeza, kerja keras dan bersikap rendah diri merupakan rahsia kejayaan yang dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), PKT Logistics Group Sdn. Bhd, Dato' Michael Tio yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Tanggungjawab Sosial Korporat) sempena Majlis Konvokesyen UUM ke-31.

Berucap selepas menerima ijazah kehormat daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Canselor Universiti Utara Malaysia pada sesi pertama Majlis Konvokesyen UUM ke-31, beliau mengingatkan para graduan kepentingan mempunyai impian untuk mencapai kejayaan yang hebat dalam hidup agar dapat memberi inspirasi kepada generasi muda lain.

"Ingin saya tekankan di sini bahawa adalah penting untuk kita mempunyai impian, bukan impian untuk berkahwin dengan bintang K-pop kegemaran anda tetapi impian untuk dicapai dalam hidup. Sebelum saya memulakan pengajian sarjana muda, saya tidak mempunyai apa-apa perancangan tetapi saya ingin menjadi seorang usahawan yang berjaya.

"Saya dimotivasi oleh usahawan dan ahli perniagaan hebat seperti Tan Sri Vincent Tan dan Sir Richard Branson yang membina syarikat-syarikat besar, memimpin pasukan hebat dan memberi impak kepada ramai orang tetapi masih mengejar impian mereka," ujarnya.

Menceritakan mengenai pengalamannya, beliau menghabiskan masa selama 10 tahun di United Kingdom di mana beliau menamatkan pengajiannya dan mencapai cita-cita menjadi seorang usahawan.

"Walaupun saya bukan Richard Branson, saya menjalani kehidupan di UK yang dicemburui rakan-rakan, mempunyai alamat di Wimbledon dan bercuti di Eropah dengan wang saya sendiri. Saya mencipta perniagaan untuk diri sendiri – mengeksport kereta terpakai kembali ke Malaysia.

"Pada tahun 1996, saya mengambil keputusan meninggalkan kehidupan selesa di UK untuk kembali ke Malaysia, menyahut seruan bapa untuk kembali mengurus dan mengembangkan perniagaan logistik keluarga – PKT," katanya.

Menurut Dato' Michael Tio, beliau didorong oleh impian baharu – untuk membantu mewujudkan perubahan supaya Malaysia menjadi hab logistik ASEAN.

"Sekembalinya ke Malaysia, Perdana Menteri, Tun Mahathir telah memberi inspirasi kepada saya dalam cara beliau membawa negara keluar dari Krisis Kewangan pada tahun 1997 dengan mengikat mata wang Ringgit ke Dollar Amerika Syarikat, sesuatu yang tidak dilakukan negara Asia lain.

"Beliau (Tun Mahathir) mengajar bahawa anda perlu berani untuk meninggalkan impak yang besar dan melakukan sesuatu yang berbeza, walaupun orang lain mengatakan tidak.

"Itulah sebabnya PKT membina dua gudang konsep pada tahun 2009 dan 2010 dan menggelarkan gudang kami dengan nama yang berwarna-warni seperti The Ship dan The Waves, sesuatu yang tidak ada lagi dalam industri itu. Mesej saya di sini adalah graduan perlu berani dan menjadi lain daripada yang lain," tegasnya

Tambah beliau PKT juga melakukan sesuatu yang berani dan berbeza iaitu bekerjasama dengan universiti awam seperti UUM, UiTM, POLISAS dan PSP.

"Ini membawa kepada pesanan ketiga saya – kerja keras. Benar apa yang ibu bapa dan guru anda pesan, kejayaan adalah 1% inspirasi dan 99% titik peluh. Semua pertumbuhan dan inovasi di PKT tidak akan berlaku tanpa kerja keras.

"Selain PKT, saya ingin anda tahu bahawa saya menghabiskan hujung minggu saya memakai topi CEO Malaysian Book of Records, menggalakkan rakyat Malaysia memecahkan rekod dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan," kongsinya.

Beliau turut berpesan kepada graduan untuk mempunyai sikap rendah diri.

"Walaupun sebagai CEO, saya tidak berfikir dua kali untuk melakukan tugas sehari-hari seperti membawa beg dan terbang kelas ekonomi pada lawatan mentor saya, melakukan demonstrasi membersihkan tandas kepada tukang cuci, menyediakan makanan dan naik trak.

"Bersikap rendah diri pada saya adalah menyedari dan mengakui bahawa banyak lagi yang saya perlu pelajari dan pada masa yang sama banyak yang perlu saya sumbangkan kepada orang di sekeliling saya seperti pepatah "berikan seekor ikan kepada seseorang maka anda memberi ia makan untuk sehari ajarkan seseorang cara menangkap ikan maka anda memberikan ia makan seumur hidup."

"Itulah sebabnya saya mempunyai impian baharu – menjadi mentor kepada seberapa banyak mungkin usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya mereka juga boleh mengikut jejak saya," katanya mengakhiri ucapan.

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

 

 

===============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3048/3049/3042/3040
FAKS: 04-928 3053
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

footer ci uum

Pejabat Luar (China)

Permohonan secara Online melalui:
1. Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB)
2. UUM Offshore Office, Beijing
3. MyGlobal Asia Center
4. Or other officially appointed UUM agents.

UUM Sintok

  servicedesk@uum.edu.my
  +604-928 4000    +604-928 3053
  Universiti Utara Malaysia,
06010 UUM Sintok, Kedah, Malaysia

UUM Kuala Lumpur

  uumkl@uum.edu.my
  +603-2610 3000    +603-2694 9228
 41-3 Jalan Raja Muda Abd Aziz,
50300 Kuala Lumpur, Malaysia