Alumni    •    Vacancy

25 PERATUS PELAJAR KELAS PERTAMA UUM TERIMA ZAKAT

zakatUUM ONLINE: 25 peratus pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang merupakan penerima bantuan zakat UUM dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) adalah dalam kalangan pelajar kelas pertama.

Menerusi satu kajian yang dilakukan pada 2020 membabitkan penerima seramai 950 pelajar di mana 548 responden adalah pelajar UUM mendapati 137 responden berjaya memperoleh skor Purata Mata Keseluruhan (PMK) kelas pertama (PMK 3.67-4.00), manakala 362 responden (66.2 peratus) mendapat kelas kedua atas (PMK 3.00-3.66).

Kajian di bawah geran Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ)-LZNK bertajuk ‘Profil Kecerdasan Emosi, Spiritual dan Pencapaian Akademik Dalam Kalangan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Yang Menerima Zakat’ itu telah dijalankan oleh penyelidik dari UUM yang diketuai Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad bersama ahli lain itu Prof. Madya Dr. Azlin Hilma Hillaluddin, Dr. Fatimah Zailly Ahmad Ramli, Prof. Madya Dr. Rajwani Md Zain, Cik Sharima Ruwaida Abbas dan Dr. Hafizah Zainal (LZNK).

Hasil kajian menunjukkan penerima zakat dari UUM ini sangat berpotensi dan merupakan pelajar cemerlang. Mereka telah berusaha serta memanfaatkan ruang dan peluang yang diberikan sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran, seterusnya kehidupan.

Zakat yang diberikan adalah secara ‘one-off’ kepada pelajar terpilih di mana ianya diagihkan sebanyak dua kali setahun. Jumlah agihan daripada LZNK itu bergantung kepada jumlah zakat yang diterima oleh UUM.

Zarina berkata, antara objektif kajian tersebut adalah bagi mengenal pasti program-program intervensi kerja sosial dan langkah-langkah yang sesuai dalam usaha mempertingkatkan kecerdasan emosi, kecerdasan spiritual dan pencapaian akademik pelajar yang menerima bantuan zakat.

“Hasil perbincangan kumpulan berfokus (FGD), responden menyatakan wang zakat yang diterima hanya cukup untuk membeli makanan, membiayai kos pengangkutan dan menyiapkan tugasan akademik. Ini menunjukkan bahawa bantuan zakat sedikit sebanyak menyumbang kepada perkembangan positif pelajar dalam pencapaian akademik masing-masing serta membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup di universiti.

“Bantuan zakat ini juga didapati mampu meningkatkan kualiti hidup pelajar. Responden turut menyarankan agar bantuan zakat diperluaskan antaranya bagi membiayai kos projek atau tesis bagi pelajar tahun akhir, lesen profesional seperti kaunselor berdaftar dan elaun praktikum yang memerlukan kos kewangan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IPIZ, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor mengajak semua warga UUM untuk terus menyumbang melalui pembayaran zakat sebagai satu kewajipan.

Katanya, UUM melalui Bahagian Zakat, Wakaf dan Endowment (BZWE), Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar sentiasa berusaha memastikan agihan zakat dilaksanakan dengan telus dan sampai kepada penerima yang layak dan memerlukan.