Alumni    •    Vacancy

ANAK ALLAHYARHAM AFENDY TERIMA SKIM TAKAFUL RM82,000

takaful vcUUM ONLINE: Anak Pegawai Tadbir di Jabatan Pendaftar, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Fathiah Atiqah Afendy, 20, menerima replika cek Skim Takaful MKSK UUM-Takaful Ikhlas yang berjumlah RM82,000.

Cek itu disampaikan Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dengan disaksikan oleh Naib Presiden Corporate Solution Department Takaful Ikhlas, Suhaimi Ismail dan Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.

Haim Hilman dalam ucapannya berharap wang yang diterima itu akan membantu keluarga Allahyarham nanti untuk meneruskan kehidupan mereka.

Katanya, Skim Takaful Berkelompok MKSK ini mula diperkenalkan di UUM pada 2018 dan mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti ke-250 Bil 10/2018 untuk mempromosikan skim ini kepada staf universiti.

“MKSK hanya menjadi penaung dan pemegang polisi induk sahaja dan tidak terlibat dalam hal-hal berkaitan tuntutan staf, sijil penyertaan, penyata cukai pendapatan dan perihal dokumen lain,” ujarnya lagi.

Skim ini adalah untuk menjaga kebajikan staf, ahli keluarga serta waris dengan memberi perlindungan kepada waris jika pencarum ditimpa penyakit, musibah dan kematian.

Polisi Induk Skim Takaful MKSK ini diaktifkan sejak 1 Jun 2019 dengan penyertaan awal staf dan ahli keluarga berjumlah 630 orang dan kini meningkat kepada 1,092 orang.

Manakala jumlah tuntutan manfaat yang telah diterima oleh staf mulai tahun 2020 sehingga kini berjumlah RM96,920.

Oleh itu, beliau menyarankan mereka yang belum menyertainya boleh mendapatkan penjelasan dan maklumat mengenai skim ini nanti.

Sementara itu, Suhaimi dalam ucapan aluannya berkata, seramai 1,092 orang telah mencarum dalam skim ini meliputi pegawai 526, pasangan 303 dan untuk anak-anak berjumlah 263 caruman.

“Caruman ini membolehkan mereka mendapat manfaat kematian, khairat kematian dan elaun hospital,” ujarnya.