Alumni    •    Vacancy

ATLET UUM DIJADIKAN CONTOH DALAM UCAPAN PERDANA MENTERI

atelt silatUUM ONLINE: Tanjung Malim – Tindakan spontan atlet silat Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Shazwana Ajak melindungi aurat pesaingnya dari Indonesia yang tercabut tudung dipakai ketika beraksi di Sukan SEA Vietnam pada Mei lalu menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan wajar dipuji.

Insiden tersebut secara tidak langsung telah menarik perhatian Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Dalam ucapan beliau menyentuh agar semua atlet SUKIPT dapat menjadikan Siti Shazwana sebagai salah satu contoh terbaik untuk melonjak semangat kesukanan ketika bertanding.

Menurutnya lagi, atlet dan pegawai perlu sentiasa mengutamakan semangat kesukanan sepanjang kejohanan SUKIPT 2022 yang bermula 12 hingga 21 Ogos ini.

Ismail Sabri berkata demikian di hadapan lebih 4,000 atlet dan pegawai meliputi 61 kontinjen dari Institusi Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru dan Kolej Komuniti seluruh negara.

Majlis ini turut disertai oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang mewakili Naib Canselor.

SUKIPT 2022 mempertandingkan sebanyak 21 acara sukan terdiri enam acara sukan padang dan balapan, 11 sukan ‘indoor’ dan empat sukan ‘outdoor’.

Kejohanan yang diadakan secara dwitahunan itu merupakan satu usaha Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Majlis-Majlis Sukan IPT (MASUM, MSP, MASKOM dan MASISWA) untuk membangunkan dan memajukan lagi sukan di peringkat IPT, kebangsaan dan antarabangsa secara bersepadu.