Alumni    •    Vacancy

BEH DIIKTIRAF IKON BELIA KELESTARIAN ALAM 2022

L BEHUUM ONLINE: Kuala Lumpur - Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Beh Zeng Kang menerima anugerah Ikon Belia Kelestarian Alam 2022 sempena Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Tahun 2022, baru-baru ini.

Aktivis alam sekitar ini banyak berjasa memberi sumbangan dalam pendidikan dan pembangunan masyarakat mahupun komuniti antarabangsa dengan menganggotai pelbagai pertubuhan, badan beruniform dan menjalin kerjasama bersama agensi kerajaan mahupun antarabangsa demi memperkasakan program advokasi alam sekitar.

Mesra disapa sebagai Beh, beliau giat melakukan usaha kelestarian alam di Malaysia seperti penanaman semula pokok, menjalankan projek kitar semula dan melakukan kempen kesedaran agar lebih peka terhadap kebersihan alam sekitar. Idea kelestarian ini bertujuan untuk membendung implikasi ekonomi, sosial dan alam sekitar yang memberi kesan kepada manusia.

“Pengiktirafan anugerah berprestij ini bukan kejayaan saya seorang, tetapi untuk semua pihak dan pencinta alam yang banyak membantu, menyokong dan membimbing sepanjang masa dan bekerja keras demi kelestarian alam sekitar,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Hubungan Antarabangsa.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini bergiat aktif dalam penyertaan program kemasyarakatan, kebeliaan dan sukarelawanan, menganjurkan program sendiri dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Pengiktirafan ini juga susulan kejayaan projek pendidikan alam sekitar Beh secara konsisten sepanjang masa berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SGD) antaranya, projek penjagaan dan pembangunan keceriaan sungai Perak, pendidikan alam sekitar dan amalan mengitar semula kepada komuniti setempat, penyunting kepada dasar dan polisi kerajaan semasa.

Memiliki lesen selam skuba, Advanced Open Water merupakan satu bonus buat Beh kerana didedahkan ilmu skuba dan menjadi penyelam yang bertanggungjawab, mesra alam selain terlibat dalam aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi ‘Marine Conservation Efforts’.

Berkongsi pengalaman, Beh aktif melakukan aktiviti pembersihan di daratan dan pantai seluruh Malaysia dengan berenang serta menyelam di dasar laut untuk mengutip sampah-sarap.

“Sedih apabila melihat lautan biru yang indah dipenuhi sampah yang timbul di permukaan laut seperti plastik, bungkusan, botol, lampin pakai buang dan polisterin. Tindakan ini memberi impilkasi buruk terhadap hidupan laut misalnya penyu mati tertelan plastik.

“Sekerap manapun aktiviti pembersihan dilakukan namun kurang keberkesanannya kerana laut sangat luas. Biasanya aktiviti pembersihan yang dijalankan lebih memfokuskan pendidikan dan kesedaran awam sekurang-sekurangnya gotong-royong secara berkala sedikit sebanyak mengurangkan sampah di lautan,” luahnya.   

Beh turut membersihkan plot rumpai laut bagi tujuan mengalakkan pengembalian penyu laut kerana rumpai laut merupakan antara sumber makanannya. Projek ‘Coral Propoagation’ dilaksanakan untuk memelihara dan memulihara semula keseimbangan perairan ekosistem laut di samping memulih semula habitat hidupan haiwan laut.

“Terumbu karang merupakan habitat penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem bawah dasar laut terpelihara. Kemusnahan yang sering berlaku disebabkan penangkapan ikan secara pukat dan ‘fish bombing’ akan membawa kesan kemudaratan dalam pemanasan global dan perubahan iklim,” tambahnya.

Justeru Beh berpendapat, kempen kesedaran dan penjagaan alam sekitar bukan sahaja meliputi inisiatif mengatasi masalah sedia ada ataupun pemulihan tetapi juga menumpukan usaha kepada pembaharuan tenaga dan sumber boleh guna alam terutamanya dalam memastikan eko-sistem sedia ada terus dikekalkan.

Selain itu, mekanisme pelaksanaan atau dasar polisi kerajaan secara komprehensif dan holistik perlu diwujudkan dalam sistem pengurusan sisa.