Alumni    •    Vacancy

KOLABORASI STRATEGIK UUM-USM PACU KECEMERLANGAN

KOLABORASI STRATEGIK UUM-USM PACU KECEMERLANGAN

L USMUniversiti Sains Malaysia (USM) berkongsi ilmu, strategi dan pengalaman terbaik sebagai sebuah universiti yang meraih pelbagai kejayaan di persada dunia sekali gus menjadi panduan untuk dicontohi.

Jalinan kerjasama strategik antara USM dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dilihat berupaya memacu kecemerlangan dan mengangkat agenda pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan amat berbesar hati mengalu-alukan delegasi UUM dan berkongsi banyak perkara yang signifikan dalam memacu kecemerlangan pengajian tinggi negara.

“Kita di dalam bot yang sama, kami gembira dapat berkongsi visi, misi, strategi USM dengan UUM dalam usaha memantapkan pengajian tinggi negara kerana banyak usaha yang   telah dilakukan untuk melahirkan generasi cemerlang.

“Letakkan sasaran dan berusaha ke arah mencapainya, buat yang terbaik dengan cemerlang ranking akan datang, lakukan kerja secara berpasukan dan percaya pada kakitangan yang melakukan kerja,” pesannya di hadapan delegasi UUM yang mengadakan Lawatan Rasmi UUM ke USM yang berlangsung di Dewan Persidangan Universiti, semalam.

Kunjungan balas yang diketuai Naib Canselor, Prof.  Dr. Haim Hilman Abdullah ini susulan lawatan kerja USM ke UUM pada Mei lalu.

Bagi Haim Hilman, lawatan ini bertujuan mengeratkan ukhuwah serta mengukuhkan jaringan kolaborasi bagi kedua-dua buah universiti.

Malah beliau menyifatkan kunjungan persahabatan yang melibatkan 68 delegasi ini menjadi titik tolak untuk terus menyebar obor perjuangan serta mengangkat agenda pengajian tinggi negara.

“Berjuta wang negara telah dibelanjakan untuk kita justeru marilah kita berikan pendidikan terbaik agar kita tidak menjadi sejarah yang dilupakan dan andai ada cerita di masa depan maka kami akan nyatakan bahawa USM adalah rakan strategik kami,” ucapnya.

Menerusi kunjungan ini beliau berharap USM dapat berkongsi ilmu dan pengalaman terbaik sebagai sebuah universiti ternama yang meraih pelbagai kejayaan di persada dunia yang wajar dicontohi dan menjadi panduan.

“Saya rasa gembira dan terima kasih kepada USM yang sudi berkongsi kelebihan, saya cadangkan setiap orang pulang dengan 1 projek usaha sama dengan USM, dan berharap usaha ini dapat direalisasikan sekali gus persahabatan yang terjalin lebih bermakna dan berpanjangan,” ujarnya.

Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Dr. Nor Hasni, menyifatkan kunjungan sehari ini membuka lebih ruang kerjasama dan mendapat pendedahan yang amat bermanfaat serta pandangan yang berbeza tentang sesuatu isu dengan lebih kritis.

“Kami amat bersyukur dengan sambutan yang cukup istimewa dan komitmen warga kerja terutamanya Naib Canselor USM yang bersama-sama delegasi dari awal hingga ke akhir pertemuan.

“Hasil daripada pertemuan ini, banyak jalinan kerjasama akan dibuat misalnya STML akan memulakan kerjasama dengan Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dan juga dengan Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei dari School of Housing, Building and Planning (SHBP),” ujarnya.

Delegasi UUM berpeluang melawat sekitar USM seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, The Nest, Desasiswa Fajar Harapan, The Bricks dan Kopa Arena.