Alumni    •    Vacancy

LADA OPTIMIS DENGAN SENTUHAN KEPAKARAN UUM

vc ladaUUM ONLINE: Langkawi - Keyakinan yang tinggi terhadap kepakaran dimiliki Universiti Utara Malaysia (UUM) mendorong Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) optimis untuk menjalinkan kerjasama dalam membangunkan sektor pelancongan di pulau legenda itu.

Hasrat itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib kepada Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah yang mengadakan kunjungan hormat di pejabat beliau, semalam.

Haim Hilman berkata, pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan kerjasama dua hala antara UUM dan LADA demi manfaat penduduk di Langkawi khususnya dalam pelbagai aspek.

Antara kolaborasi yang boleh diadakan adalah seperti program sekolah angkat di Langkawi, pelaksanaan program pembelajaran di pulau tersebut menerusi program kerjasama UUM-LADA, memberi tauliah kepada pekerja mahir dengan sijil daripada UUM dan seterusnya membangunkan memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua belah pihak.

Selain itu, Haim Hilman mencadangkan agar LADA menggunakan kepakaran penyelidik UUM untuk melakukan kajian sepenuhnya tentang isu sosial yang mana hasil kajian digunakan bagi mendapatkan dana kerajaan untuk pelaksanaan resoluasi kajian tersebut, kajian tentang kelestarian pelancong untuk kembali ke hotel dan kajian kehendak pelanggan.

Bagi pembangunan ekonomi pula, beliau menyatakan idea untuk melahirkan 100 usahawan Langkawi menerusi program-program keusahawanan dan Langkawi akan dijadikan sebagai hab pelaksanaan program berkenaan.

Pada masa sama, Haim Hilman mengalu-alukan staf LADA yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di UUM serta membangunkan program eksekutif kepada kakitangan LADA bagi tujuan pembangunan kerjaya mereka.

Sementara itu, Nasaruddin berkata, beliau berterima kasih kepada Naib Canselor di atas kesudian untuk menjalinkan kerjasama dengan LADA dalam pelbagai bidang yang dilihat berpotensi untuk dilaksanakan.

Menurutnya, terdapat beberapa peluang yang menarik perhatian LADA untuk kerjasama strategik bersama UUM terutamanya dalam bidang pelancongan.

Katanya, beliau melihat kepakaran dimiliki UUM boleh membantu LADA dalam mempercepatkan pemulihan semula industri pelancongan yang terjejas akibat Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada dua tahun lalu.

“Kini, Langkawi dalam proses pemulihan dan saya percaya dengan kepakaran, strategi dan idea yang tepat serta hasil bantuan dan tenaga pakar UUM boleh membantu mencapai ‘recovery’ ini lebih cepat dari tempoh yang dijangkakan.

“Kedua, kita ingin merangka satu rombakan semula ekonomi Langkawi keseluruhan secara makro kerana jika dilihat, kebergantungan ekonomi di daerah ini terhadap sektor pelancongan terlalu tinggi. Jadi, ada kemungkinan dan peluang untuk merangka kepelbagaian ekonomi Langkawi lebih menyeluruh yang akhirnya akan menyumbang dan memakmurkan kembali industri pelancongan ini termasuk agropelancongan dan akuakultur,” katanya.

Seterusnya, Nasaruddin berkata, beliau inginkan kerjasama dalam penstrukturan semula sosial berdasarkan cabaran semasa dihadapi LADA terutama dalam bidang pendidikan dan pembangunan komuniti di Langkawi yang diharapkan dengan adanya kepakaran UUM dapat membantu mengatasi isu atau masalah tersebut.

Beliau juga berminat untuk bekerjasama dalam pembangunan UUM di Langkawi memandangkan universiti ini mempunyai aset yang boleh dibangunkan di pulau itu, akhirnya akan membantu pembentukan jawatankuasa antara UUM dengan pemegang taruh di Langkawi untuk perhalusi isu-isu yang boleh bekerjasama.

“Saya percaya UUM dapat memberi sumbangan yang signifikan di Langkawi sebagai permata Kedah kerana banyak bidang yang ditawarkan Naib Canselor sangat menarik untuk diperhalusi lagi.

“Kita akan duduk berbincang lagi untuk melihat kawasan tumpuan untuk tempoh jangka pendek dan panjang walaupun sehingga 20 tahun akan datang.

“Saya berharap  agar kerjasama ini dapat direalisasikan sehingga menjadi kenyataan yang akhirnya membawa kepada pembangunan Langkawi secara menyeluruh,” katanya.