Alumni    •    Vacancy

SULTAN PERKENAN PERKEMBANGAN UUM

WhatsApp Image 2022 08 08 at 4.15.00 PMUUM ONLINE: Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah mendapat perkenan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah, Tuanku Canselor UUM secara maya, semalam.

Pada majlis menghadap tersebut, Haim Hilman menyembah maklum tentang beberapa perkara, antaranya Majlis Konvokesyen Ke-34 tahun 2022, Majlis Konvokesyen Ke-35 dan Ke-36 bagi tahun 2023 dan perkembangan terkini UUM termasuk pencapaian dan kejayaan universiti.

Dalam majlis menghadap berkenaan, Tuanku Canselor telah memperkenankan tarikh-tarikh majlis konvokesyen yang dipersembahkan. Majlis Konvokesyen ke-34 UUM akan berlangsung pada 6 hingga 12 November 2022 iaitu selama tujuh hari. Manakala bagi Majlis Konvokesyen ke-35 dan ke-36 yang akan berlangsung pada tahun hadapan, tarikh yang diperkenankan adalah 14 hingga 18 Mei 2023 dan 22 hingga 26 Oktober 2023.

Tuanku Canselor turut disembah maklum tentang dua penerima ijazah kehormat, iaitu Tan Sri Halim Shafie yang akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan dan Pembangunan ICT) dan Dato’ Che Azmi Murad untuk Ijazah Kehormat Sarjana (Pengurusan Operasi).

Selain itu, beliau turut menyembah maklum tentang hala tuju universiti dan program kolaborasi UUM melalui MoU dan MoA antarabangsa serta lawatan kerja ke Australia dan Indonesia, baru-baru ini.

Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin turut disembah maklum tentang hasrat universiti untuk mengadakan Program Kembara DiRaja Kedah bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala antara pihak istana dan rakyat jelata.

Turut disembah maklum perkembangan projek penerbitan buku ‘KDYMM Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah: Menggagas Wawasan, Melestari Ketamadunan’ serta penganugerahan Anugerah Pingat Perkhidmatan Setia untuk perkenan Baginda.

Di akhir sesi menghadap berkenaan, Tuanku Canselor telah menzahirkan rasa gembira atas segala perkembangan universiti dan turut memperkenankan program Kembara DiRaja Kedah bagi menandakan kebersamaan Tuanku bersama rakyat.