Alumni    •    Vacancy

SOZECOM, NIGERIA JALIN KERJASAMA DENGAN IPIZ

nigeria ipizUUM ONLINE: Sokoto State Zakkat and Endowment Commission (SOZECOM), Sokoto, Nigeria menjalin kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Ketibaan delegasi yang diketuai Pengerusi Eksekutif SOZECOM, Muhammad Lawal Maidoki (Sadaukin Sakkwato) disambut Pengarah IPIZ, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor beserta Timbalan Pengarah dan Felo Penyelidik IPIZ di Anjung Tamu, sebelum ke pejabat IPIZ di Pusat Konvensyen, UUM.

Dalam pertemuan itu, Selamah memberi penerangan tentang UUM dan IPIZ yang ditubuhkan untuk menjadi pusat rujukan zakat terkemuka dunia.

“IPIZ kini aktif menjalankan penyelidikan, perundingan dan program latihan untuk pembangunan ekonomi Ummah Dan akan terus berusaha memastikan hala tuju IPIZ selari dengan Al-Quran dan Sunnah demi memenuhi Maqasid Shariah,” katanya.

Beliau juga berkongsi pengalaman IPIZ bekerjasama dengan LZNK melalui penyelidikan dan inovasi yang dijalankan.

Beliau turut menawarkan bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan antara IPIZ dan SOZECOM selain penyelidikan dan latihan termasuklah sebagai felo bersekutu, felo industri, rakan IPIZ serta kerjasama dalam International Conference of Zakat, Waqaf, Tax and Economic Development (ZAWED).   

Sementara itu, Muhammad Lawal yakin kolaborasi antara IPIZ dan SOZECOM dapat diperkasakan lagi untuk manfaat dan kebaikan kedua-dua belah pihak demi pembangunan ekonomi ummah.

Beliau menzahirkan rasa kagum terhadap model IPIZ yang terhasil daripada kerjasama antara LZNK dan UUM yang wajar dicontohi.

“Kami sedang mengikuti program latihan di Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) selama dua minggu walaupun sarat dengan aktiviti di LZNK, namun kami tetap meluangkan masa melawat UUM kerana berhasrat menjalinkan kerjasama rapat terutamanya dalam penyelidikan dan latihan,” ujarnya. ​