ZAWED 2019 Memperkasakan Zakaf, Wakaf Dan Sedekah

L ZawedUUM ONLINE: Langkawi - Zakat dan wakaf merupakan mekanisme kewangan sosial Islam yang perlu diperkasakan supaya boleh membangunkan sektor ekonomi yang ketiga bagi memastikan impaknya dapat dinikmati ummah.

“Di Malaysia konsep wakaf amat diperlukan namun wakaf ibarat legasi yang hilang apabila dianggap kecil peranannya sekadar tanah kubur, Al-Quran dan masjid.

“Jangan hadkan wakaf kepada tanah kubur, Al-Quran semata-mata sedangkan semua orang boleh berwakaf sebagai amal jariah untuk mendapat pahala berterusan supaya amal jariah yang manfaatnya turun-temurun dari generasi ke generasi,” kata Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh pada Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Zakat, Cukai, Wakaf dan Pembangunan Ekonomi (ZAWED) 2019 di Hotel Adya.

Beliau berkata, sebanyak 31,000 ekar tanah wakaf di seluruh negara yang belum dibangunkan kerana sukar untuk mengumpul dana dan rakyat tidak boleh mengharapkan dana kerajaan, justeru peluang harus diberikan kepada orang ramai untuk berwakaf.

Menurutnya, kerajaan telah berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha mewujudkan Tabung Wakaf Pendidikan bagi memberi manfaat dalam membantu membina makmal dan menyelenggara serta membaik pulih sekolah, selain mewujudkan ‘food bank’ di universiti dan program yang memberi impak kepada ekonomi sosial.

Katanya, kewangan sosial Islam termasuk zakat, wakaf dan sedekah adalah mekanisme pembiayaan atau pelaburan berasaskan sosial yang menggalakkan kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat serta pada masa sama mengekalkan keseimbangan ekologi alam sekitar selaras dengan prinsip syariah dan objektifnya.

“Di Malaysia, dana zakat boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan kemiskinan dan memberi makanan kepada golongan miskin. Pada masa ini, majoriti zakat dibelanjakan untuk pengagihan semula kepada penerima yang layak termasuk golongan miskin dan memerlukan.

“Menerusi seminar ini, saya yakin pelbagai input diperoleh dengan adanya perbincangan, perkongsian dan pertukaran pengetahuan, idea serta pengalaman untuk membantu golongan yang memerlukan, justeru kita mesti bersungguh-sungguh merangkul inovasi dalam memacu produktiviti untuk kebaikan ummah,” katanya.

Seminar ZAWED anjuran Institut Penyelidikan Dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM dengan kerjasama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melibatkan penyertaan dari seluruh negara termasuk Iran, Nigeria, Brunei dan Indonesia yang turut membentangkan kertas kerja berkenaan instrumen kewangan terkini untuk membangunkan zakat wakaf dan pembangunan ekonomi Islam.

Selain itu, pakar dalam bidang ekonomi Islam iaitu Prof. Dr. Abdul Ghafar Ismail, Rektor Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) merangkap Ahli Lembaga Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut menyampaikan ucaptama beliau.

Wacana ilmu dalam ZAWED kali ini turut dirancakkan oleh panel jemputan antaranya Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti yang juga Profesor di IBS, Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim; Penolong Pengarah, Pusat Kajian Zakat (BAZNAS) Indonesia, Dr. Muhamad Hasbi Zainal; Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Sheikh Zakaria Othman dan Pengarah LHDN Cawangan Alor Setar, Roside Jansi.