Sasterawan Negara Perincikan Imej Wanita Dalam Sastera Melayu

L SasterawanUUM ONLINE: Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Zurinah Hassan berkongsi pengalaman dan perjuangannya dalam dunia penulisan sastera sekali gus menyemarakkan nilai kesusasteraan di kalangan warga universiti.

Dato’ Dr. Zurinah membincangkan ‘Citra Wanita Dalam Puisi Melayu Tradisional’ sempena Program Syarahan Sasterawan Di Universiti anjuran Unit Bahasa Sastera dan Budaya Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), kelmarin.

Menurutnya, dalam karya agung Melayu imej wanita diperlihatkan melalui watak yang dikenali dalam sejarah seperti Puteri Gunung Ledang, Tun Teja, Tun Fatimah dan Tun Kudu.

Memetik ungkapan puisi beliau yang bertajuk ‘Pesanan Puteri Gunung Ledang Kepada Sultan Mahmud’ berdasarkan peristiwa Peminangan Puteri Gunung Ledang dalam teks Sejarah Melayu, penentangan wanita ke atas kekuasaan dan ketidakadilan diperlihatkan secara tersirat.

Pesanan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud

Tun Mamat
Sampaikan pesanku kepada Sultan
Pinta dipenuhi syarat-syarat ini
Jika aku ingin diperisiterikan
Perbuatkan jambatan emas jambatan perak
Bawakan tujuh dulang hati kuman, hati nyamuk
Air mata dan air pinang muda setempayan
Darah raja dan anak raja semangkuk
Sebenarnya
Aku telah pun menduga
Dia akan sanggup merentang jambatan derita
Dia merelai negeri menjadi dulang sengsara
Membiarkan rakyat memikul tempayan air mata
Kehidupan terbakar dalam api berahi
Selagi kepanasan tidak terpercik ke tubuhnya.

 

Tun Mamat
Sebenarnya aku memberi syarat ini
Kerana aku tidak sudi menjadi permaisuri Sultan
Dan hidup bercerminkan kekeruhan

Biarlah Gunung Ledang berdiri mengingatkan
Ada bunga yang tidak dapat digubah
Sesedap titah
Seorang perempuan pun ada kalanya
Berhak memilih kebebasan
Seorang Sultan pun ada kalanya
Harus tunduk kepada kekalahan

 

“Sultan sanggup mengerah rakyat, malah sanggup mengorbankan nyawa rakyat untuk melakukan segalanya hanya untuk mendapatkan Puteri Gunung Ledang yang sekadar menjengah di alam mimpi. Nafsu serakah itulah antara faktor yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melayu Melaka dan negeri Melayu secara umumnya,” katanya.

Jelasnya, karya sastera secara tidak langsung turut memperlihatkan bahawa imej wanita sejak dahulu lagi telah diangkat dengan baik bagi menjelaskan peranan mereka dalam kekuasaan lelaki.

Namun begitu, menurut beliau, sejarah juga turut membuktikan bahawa kekuasaan lelaki juga telah mencalar jiwa wanita. Hal ini bukan sahaja berlaku di zaman tradisional, malah di era moden, kekuasaan lelaki dan kelemahan wanita sering menjadi fenomena dalam masyarakat.

 

Surat Teja Kepada Tuah

Sampai hatimu Tuah
Mawar cinta yang kuberikan
Kau bawa ke perhitungan
Kenanga dari sanggulku
Kau sangkutkan ke singgahsana
Untuk mengharumkan namamu Tuah, aku adalah perempuan malang
yang harus merana, kerana paras rupa
kecantikanku bukanlah satu dosa
namun ia telah diperdagangkan
dengan pintar percaturan lelaki
seperti bunga pada sesedap gubahan
di hujung lidah seorang sultan.
Aku seperti perempuan lainnya
Telah dibesarkan oleh peraturan
Dihaluskan oleh adat
Dengan suara yang dilembutkan untuk menerima
Diajar untuk pandai merelakan paksaan
Kerana itu adalah kesopanan
Yang menyempurnakan kejadian
Seorang perempuan Barangkali akulah yang bersalah
Membina impian di sayap perasaan
Untuk berbakti sebagai isteri
Sebuah impian yang indah

Sajak beliau berjudul ‘Surat Teja Kepada Tuah’ yang diangkat daripada peristiwa dalam teks Sejarah Melayu telah memperlihatkan tipu daya lelaki dalam mencapai impian sendiri sehingga sanggup melukakan jiwa dan perasaan seorang wanita sebaik Tun Teja.

“Kelemahan wanita apabila perlu akur kepada norma dan adat yang telah ditentukan dalam masyarakat demi menjaga kesempurnaan kejadian seorang wanita”. Program Syarahan Sasterawan Negara Di Universiti ini juga mempersembahkan bacaan sajak dan syair hasil tulisan SN Dato’ Dr Zurinah Hassan oleh pelajar UUM.

Beliau turut terlibat dalam menjayakan Bengkel Penulisan Kreatif: Menyusun Aksara Kritis: Alam Terkembang Sebagai Layar.

Dato’ Dr Zurinah Hassan merupakan Karyawan Tamu Utama UUM dan beliau telah menghasilkan lebih 20 karya kreatif dari pelbagai genre seperti puisi, autobiografi, memoir, cerpen, novel dan kajian penyelidikan sastera.

Beliau ialah sasterawan wanita pertama yang dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara (yang ke-13), di samping turut mendapat pelbagai anugerah seperti SEA Write Award (2004) , Hadiah Sastera Perdana dan anugerah Puisi Putera (2003).

Karya-karya beliau telah diterbitkan dalam pelbagai bahasa seperti English, Spanish, Russian, Mandarin, dan Tamil.