PKPP: SOLAT JUMAAT PERTAMA PATUH SOP

solat jumaatUUM ONLINE: Bermulanya hari ini, warga UUM telah dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat fardhu secara berjemaah di masjid selepas aktiviti keagamaan di rumah ibadat tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Ismail Ishak berkata, Pusat Islam telah membuat persiapan awal mengikut arahan, pekeliling dan prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Agama Islam Negeri Kedah sebelum kebenaran tersebut dilaksanakan.

Menurutnya, dalam pekeliling tersebut dinyatakan bahawa kebenaran solat Jumaat dihadkan kepada maksimum 60 orang jemaah sahaja dan solat fardhu berjemaah dihadkan kepada maksimum 40 jemaah dengan penjarakan sosial yang telah ditetapkan.

“Bagi memastikan jumlah jemaah ini tidak lebih dari yang ditetapkan, Pusat Islam menggunakan pendaftaran secara online, terbuka kepada staf dan pelajar UUM sahaja yang ingin menunaikan solat di Masjid Sultan Badlishah dan Masjid Imam As-Syafie Bukit Kachi.

“Mereka yang ingin menunaikan solat Jumaat boleh mendaftar melalui pautan yang telah diberikan menerusi hebahan emel oleh Pusat Islam dan pendaftaran perlu dibuat pada hari Khamis setiap minggu,” katanya.

Dr. Ismail berkata, pengesahan kehadiran akan dibuat sekali lagi oleh pegawai Pusat Islam sebelum jemaah masuk ke masjid berserta dengan pengambilan suhu badan.

“Bagi pelajar antarabangsa yang tinggal di Inapan Siswa (INASIS) Maybank, mereka diberikan kuota untuk menyertai solat Jumaat di Masjid Sultan Badlishah sahaja.

“Jemaah diminta untuk mengambil wudhu di rumah dan memakai pelitup muka serta membawa sejadah peribadi untuk menunaikan solat di kedua-dua masjid tersebut,” katanya yang mengingatkan jemaah untuk mengikut laluan khas masuk dan keluar ke dewan solat seperti yang telah ditetapkan oleh Pusat Islam.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Ustaz Firdaus Ahmat ditalian 04-928 2565 atau 019-5758942.