Alumni    •    Vacancy

BENGKEL PEMANTAPAN MPUUM DAN ROUND TABLE DISCUSSION PERKUKUH PERANAN PROFESOR UUM

Oleh: Siti Nur Madihah binti Mehat

Gambar oleh: Siti Nur Madihah binti Mehat

 

BENGKEL PEMANTAPAN MPUUM DAN ROUND TABLE DISCUSSION PERKUKUH PERANAN PROFESOR UUM

 

ALOR SETAR, 6 Ogos 2026 – Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (MPUUM) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan MPUUM dan Round Table Discussion (RTD) selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos 2026 bertempat di Hotel Raia, Alor Setar sebagai platform untuk memperkukuh peranan, fungsi dan hala tuju MPUUM dalam menyumbang kepada pembangunan serta kecemerlangan Universiti Utara Malaysia (UUM).

 D1  Bengkel MPUUM  RTD

Bengkel yang menghimpunkan barisan profesor dan ahli MPUUM ini memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran dalam membincangkan pelbagai perkara strategik berkaitan peranan profesor serta sumbangan mereka kepada universiti, masyarakat dan negara.

Pengisian bengkel turut merangkumi sesi Round Table Discussion (RTD) yang melibatkan perbincangan secara berkumpulan bagi mengenal pasti isu, cabaran serta cadangan strategik yang boleh diketengahkan untuk tindakan dan pertimbangan pihak universiti.

D2  Bengkel MPUUM 2026

Salah satu sesi yang turut diadakan ialah Taklimat Syarahan Pengukuhan Profesor yang diisi oleh Prof. Ts. Dr. Ariffin bin Abdul Mutalib. Sesi ini memberikan pendedahan dan perkongsian berkaitan pelaksanaan serta kepentingan Syarahan Pengukuhan Profesor sebagai salah satu platform perkongsian kepakaran dan sumbangan intelektual profesor.

Sepanjang RTD berlangsung, peserta turut membincangkan beberapa fokus utama yang merangkumi aspek kesejahteraan (wellbeing), kelestarian (sustainability), serta keterlihatan dan pengantarabangsaan (visibility & internationalization). Perbincangan tersebut menghasilkan pelbagai pandangan dan cadangan yang akan didokumentasikan sebagai resolusi serta asas kepada tindakan susulan MPUUM.

Bengkel selama tiga hari ini turut menjadi ruang penting dalam memperkukuh jaringan dan kerjasama antara ahli MPUUM, di samping menggalakkan perkongsian ilmu serta pemikiran strategik dalam mendepani keperluan semasa universiti.

MPUUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua profesor, peserta, penceramah, fasilitator dan urus setia yang telah memberikan komitmen serta kerjasama dalam menjayakan Bengkel Pemantapan MPUUM dan Round Table Discussion 2026.

Semoga hasil perbincangan dan resolusi yang dirumuskan dapat diterjemahkan melalui tindakan yang berimpak serta terus memperkukuh peranan MPUUM sebagai wadah kepakaran dan pemikiran strategik dalam menyokong aspirasi UUM.