Oleh: Siti Nur Madihah binti Mehat
Gambar oleh: Siti Nur Madihah binti Mehat
Siri Syarahan Santun Bil. 1/2026 Berjaya Tingkat Kesedaran Kesihatan Mental Warga Universiti

Sintok, 24 Jun 2026 – Program Siri Syarahan Santun Bil. 1/2026 bertajuk “Santun Emosi, Sejahtera Keluarga: Dialog Kesihatan Mental Warga Universiti” telah berjaya dilaksanakan di Auditorium 1, PSB dengan penyertaan warga universiti yang terdiri daripada staf akademik, staf pentadbiran dan pelajar.
Program anjuran bersama antara Majlis Profesor UUM dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM menampilkan Prof. Dr. Noor Azniza Binti Ishak sebagai penceramah utama yang menyampaikan kupasan berkaitan kepentingan kesejahteraan emosi, pengurusan tekanan, serta peranan keluarga dalam menyokong kesihatan mental individu.
Sepanjang sesi berlangsung, peserta berpeluang mengikuti perbincangan yang menyentuh pelbagai aspek kesihatan mental termasuk cabaran semasa yang dihadapi oleh warga universiti, strategi meningkatkan daya tahan diri serta kepentingan membina persekitaran kerja dan pembelajaran yang positif.
Program ini merupakan antara inisiatif berterusan universiti dalam memupuk budaya kesedaran dan literasi kesihatan mental dalam kalangan warga kampus, selaras dengan usaha mewujudkan komuniti universiti yang sejahtera, inklusif dan berdaya tahan.
Penganjur merakamkan penghargaan kepada penceramah, peserta serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program ini. Diharapkan ilmu dan perkongsian yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian serta menyumbang kepada kesejahteraan mental dan emosi warga universiti secara menyeluruh.